entah kenapa. semakin meningkat usia, semakin alpa dan jauh.
agaknya 4 tahun lalu, boleh dikatakan seminggu sekali, aku akan bergegas ke pusat komputer hanya dengan satu tujuan, menghubungi keluargaku tersayang. mendengar suara-suara mereka menceriakan jiwa ini. terutama sekali suara ibuku. ibu, panggilan yang formal. aku memanggil ibuku dengan panggilan ma, lebih dekat dan menusuk bagi aku. pantang aku ditimpa masalah, rasa gelisah, bersegera aku menghubungi beliau untuk mencurahkan segalanya.
usia kian meningkat, tapi saban hari, aku makin jarang menghubungi kekasih hatiku seorang ini. faktor masa? faktor internet? itu semua alasan. kalau berkemahuan tinggi, boleh sahaja atasi semua itu.
masalah. masalah.
ibu seorang yang tinggi tempat duduknya. semua anak wajib merasa seperti itu. pengorbanan dan jerit-perih ibu membesarkan kita, jangan mimpi nak balas. aku pernah terbaca kisah seorang anak menggendong ibunya yang lumpuh kemana sahaja. pada suatu ketika, anak itu bertemu seorang bijak pandai lalu si anak itu bertanyakan perihalnya membawa ibunya kemana sahaja itu, adakah sudah menyamai segala pengorbanan ibunya itu. bijak pandai itu menjawab, bahkan jika kau membawanya hingga hari khiamat, tiada terbalas jasa ibu.
terasa berdosa kerana jarangnya diri ini menghubungi ibu. tambah memalukan, aku hanya menghubungi hanya ketika musim imtihan. anak apakah aku ini?
aku pernah terdengar lirik lagu, yang membawa maksud seperti ketika mana kita membesar dan mengecapi kejayaan, selalu kita terlupa ibu dan ayah kita semakin lanjut usianya. apa yang ada, takkan pernah kita hargai hinggalah tiba saat ia kembali pada Pemiliknya. Allah.
aku bimbang. kisah anak membuang ibu dan ayahnya, tidak mengakui pertalian darah dan sebagainya. setiap anak ingin dan mahu menjadi anak yang soleh dan solehah. mentaati Allah, ajaran RasulNya dan menghormati ibu dan ayahnya. impian aku dan semua anak-anak. menjaga dan menyayangi mereka sebagaimana saat kita dilahirkan, mereka orang yang paling gembira, merekalah yang paling bersusah-payah menjaga dan membesarkan kita. setidak-tidaknya, menjadi anak yang soleh itu yang aku kena usahakan.
anak derhaka. aku ingin menjauhi segala perlakuan yang mampu mengguris hati dan perasaan mereka, ibu dan ayahku. namun, dalam keghairahan aku mengejar erti kehidupan, jarang sekali perasaan mereka aku jaga. tambahan, hidup perantauan menjarakkan aku dan mereka.
ibu, tak pernah sesekali insan mulia ini meminta jasanya dibalas. bahkan mengungkit segala pengorbanannya, tidak pernah beliau lakukan. jika pernah pun hanyalah ketika perasaannya begitu terguris.
aku sesekali tak mampu membalas jasa dan pengorbananmu.
aku hanya menulis catatan ini sebagai peringatan.
jika satu masa nanti, aku terpesong dari impianku sejak kecil.
semoga sedikit yang aku tulis ini mampu mengembalikan kembali.
impian dan harapan yang ingin aku gapai.
hanya untukmu, ibu dan ayah.
doakan aku dan adik-beradikku dan semua anak-anak di dunia ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. amin
ya Allah, ya Tuhanku, ampunkanlah dosaku dan dosa kedua-dua ibubapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihaniku semenjak aku kecil.


